Selasa, 18 Ogos 2009

RENUNGAN UNTUK SEMUA

Saat-saat gawat kini telah menjelma
sementara perakam waktu melaung-laung memberi amaran
kelihatan manusia saling berubut-rebut sesama sendiri
sebagai satu petanda mempasakan perjuangan masing-masing
dalam keasyikkan mengetuk perakam waktu
kita sebenarnya sudah terlupa buat seketika
bahawasanya waktu itu sudah dibeli.
Lihat sahaja di suatu penjuru
berbisik sesama sendiri lalu mengangguk-angguk
tanpa mempedulikan rasa berdosa dan tangan itu
mulai kehilangan amanah
Tak pernah terfikirkah mereka
penipuan seawalnya akan membawa
selautan dosa hingga ke petang???
Di suatu sudut perakam waktu menangis
apakah erti tulisan yang di ukir pada badan???
amaran yang jelas di pandang remeh
masing-masing berebut membantu
rakan merakam kedatangan
penipuan berlarutan dan akhirnya menjadi amalan
kejujuran diketepikan lalu wujudlah budaya baru
budaya penipuan
Wahai manusia katakanlah
siapa lagi bakal menolong mencatatkan
waktu-waktu sebenar di sana
selain daripada pencatat amalan kiri dan kananmu????

SATU SAAT, SATU DETIK

Satu saat satu detik...
Akan berlaku satu perkara...
Engkau kira lamanya...
Dari awal hingga akhirnya...

Ahad, 3 Mei 2009

MENGENAI SAYA




AHMAD ELYSAL


Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Mula berkhidmat sebagai guru pada tahun 2004 di SK Sg Serai, Hulu Langat. Sekarang mengajar di SK USJ 20, Subang Jaya.

Jumaat, 17 April 2009

GURINDAM MALAGNYA BAHASAKU

Bahasa orang dipuja dipuji
bahasa sendiri dicerca dikeji.

dihormati
bahasa sendiri dibiar mati.

Bahasa orang dinilai dihargai
bahasa sendiri diabai dibenci.

Bahasa orang diyakini
bahasa sendiri disangsi.

Bahasa orang dianggap berguna
bahasa sendiri dipandang hina.

Bahasa orang dinobat dipelihara
bahasa sendiri disekat didera.

Bahasa orang dijunjung dijulang
bahasa sendiri dirundung malang.

Bahasa orang digilap gemilang
bahasa sendiri malap dan hilang.

GURINDAM MELAYU BANGSAKU

Melayu bangsaku penegak budaya
berseri hidup diterangi cahaya.

Melayu bangsaku penjunjung warisan
kukuh walau hujan atau kepanasan.

Melayu bangsaku pendaulat agama
kebahagiaan kekal tujuan bersama.

Melayu bangsaku penyubur sikap
kerja beretika bertambah cekap.

Melayu bangsaku penerus agenda
gapai wawasan usaha diganda.

Melayu bangsaku pemelihara bahasa
suara dipadu mantap perkasa.

Melayu bangsaku pembina jati diri
generasi mendatang ampuh berdiri.

Melayu bangsaku pelindung watan
melawan petualang tak gentar ugutan.

Melayu bangsaku pencinta damai
berkat perpaduan muafakat disemai.

Melayu bangsaku pembela bangsa
tidak rela ketuanan binasa.

by NAZIM MOHD SUBARI
Mersing, Johor

PUISI MELAYU TRADISIONAL

Puisi tradisional bererti puisi lama. Tradisional mengikut Kamus Dewan ialah bersifat tradisi, sesuatu kebiasaan yang kekal turun-temurun. Bererti untuk jadi tradisional sesuatu itu mestilah telah lama lahir, oleh itu puisi tradisional dipanggil juga puisi warisan, puisi klasik dan puisi lama. Pemisah yang agak mudah ialah tarikh kelahiran karya. Antara ciri penting puisi tradisional ialah ia bersifat lisan. Ini bermakna puisi tradisional diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan. Sebagai puisi lisan, puisi ini bersifat kolektif dan fungsional, iaitu dicipta oleh pengarang yang tidak bernama dan digunakan dalam kehidupan masyarakat. Kebanyakannya mempunyai bentuk yang terikat seperti pantun dan syair.

PERIBAHASA BERANGKAP

Peribahasa tergolong dalam jenis puisi warisan Melayu dan sangat banyak ditemui dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Peribahasa juga disebut dengan nama peribahasa berirama dan mempunyai beberapa variasi seperti bidalan, pepatah-petitih, perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil. Dari segi bentuk, peribahasa berangkap terbina dalam dua keratan yang sejajar, baik dalam dalam sebaris atau lebih. Tidak sebagaimana pantun, baris-baris dalam peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.
Peranan peribahasa dalam majlis-majlis rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang sopan walau semasa menegur, menyindir atau mengkritik secara halus. Peribahasa juga berfungsi sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam kemasyarakatannya dan media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya.

Khamis, 16 April 2009

MANTERA








Istilah mantera berasal daripada kata mantra, mantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampi serapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun. Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.
Puja Padi:
Seri Dangomala, Seri Dangomali!
Hendak kirim anak sembilan bulan;
Segala inang, segala pengasuh;
Jangan beri sakit, jangan beri demam,
Jangan beri ngilu dan pening;
Kecil menjadi besar;
Tua menjadi muda;
Yang tak kejap diperkejapkan;
Yang tak sama dipersamakan;
Yang tak tinggi dipertinggikan;
Hijau seperti air laut;
Tinggi seperti bukit Kaf.

Syair Siti Zubaidah & Perang di China

Baik parasnya bukan kepalang
Tubuhnya seperti emas cemerlang
Cahaya durjanya gilang-gemilang
Jika ditentang bagaikan hilang

Lemah lembut manis berseri-seri
Majlisnya tidak lagi terperi
Parasnya seperti anakan peri
Tiada berbanding di dalam negeri

Bertambahlah arif bijak laksana
Bijak bestari akal sempurna
Sifatnya lengkap tujuh laksana
Tiada berbanding barang di mana

Jikalau dicari dengan makrifat
Cukup kepadanya serba empat
Habis kepada sempurna sifat
Bandingnya itu sukar mendapat

Rambutnya panjang hitam lebatnya
Kening beralit dengan hitamnya
Mata hitam sangat hitamnya
Bulu matanya lentik sangat eloknya

Hidungnya mancung lehernya jijang
Pinggangnya ramping dadanya bidang
Loknya elok sederhana sedang
Sedap manis mata memandang

Puteri Zubaidah konon namanya
Patutlah nama dengan rupanya
Di negeri Iraq sangat mashurnya
Seorang pun tiada tolok bandingnya

SYAIR MATI

Sampailah waktu ajal akan datang
Malaikat Maut segera menjelang
dicabut nyawa tiada terbilang
sakit terasa bukan kepalang

Mati itu terlalu sakit
di dalam kubur terlalu sempit
ular dan kala datang menggigit
papan dan bumi pula menghimpit

Masuklah mayat ke dalam bumi
Mungkar dan Nangkir tanyakan diri
tiada terjawab amalan sendiri
dipukul malaikat ke dasar bumi

Setelah dikubur baru menyesal
teringat diri membuat dosa
teringat diri tiada beramal
tak mungkin lagi pulang ke dunia

Mati itu terlalu lazat
bagi shuhada di medan jihad
oleh itu wahai sahabat
iman di dada perlu ditingkat

Gurindam Dambaan Insani

Berikan aku sehembus cinta
biar kudinginkan jiwa meronta.

Hulurkan aku secubit kasih
menyebar belas takkan tersisih.

Tebarkan padaku sejambak simpati
harumlah nanti membujuk hati.

Kurela hadirnya semangat membara
tak gusar kutempoh hangat sang lara.

Sinaran ikhlas pada malam meminjam
merajai siang hingga aku terpejam.

Mutunya pada kesucian cinta
walau dipinta tak terjangkau tinta.

PANTUN BUDI- CERMINAN KETINGGIAN AKAL BUDI

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah serkah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Budi yang baik tetap di hati

Banyak orang di Bukit Cina,
Daun nanas serak-serakan,
Burung tempua di pohon saga;
Zaman sekarang ringgit berguna,
Emas perak jadi taruhan,
Budi baik terpinggir juga.


Padi bukit padi huma,
Taruh mari di dalam peti,
Dibawa orang ke Tanjung Jati;
Budimu tuan saya terima,
Sudah terlekat di dalam hati,
Terpahat kukuh hingga ke mati.


Buah lada lebat di pangkal,
Gugur daun dengan buahnya,
Dibawa dagang pergi seberang;
Sungguh ringgit penuh sekapal,
Budi tiada apa gunanya,
Nama pun tidak disebut orang.


Dari Johor ke Majapahit,
Singgah berlabuh di Pulau Bangka,
Ambil muatan gula dan rempah;
Jika masyhur budi yang baik,
Jangan pula mengada-ngada,
Orang keliling jadi menyampah.

(Sumber: Hamidah Adam, Batu Pahat, Johor, 2001)

Rabu, 15 April 2009

NASIHAT KEPADA KAUM HAWA



Demikian wahai lagi perempuan,
Taatlah kepada suamimu tuan,
Jangan menderhaka jangan melawan,
Jadikan dirimu bersifat setiawan.
Jangan sekali berniat khianat,
Apalagi kurang amanat,
Pekerjaan wajib bukannya sunat,
Jika dilawan mendapat laknat.

Pertama di dunia mendapat malu,
Di dalam akhirat tubuh terpalu,
Masyhur khabar ke hilir ke hulu,
Sebab perangai tidak bermalu.
Sangatlah murka Rabbulizzati,
Perintah suami tidak dituruti,
Hendaklah taat bersungguh hati,
Kepada suamimu berbuat bakti.
Jangan takburkan rupamu elok,
Melebihi kebanyakan makhluk,
Menyangka dirimu tiada tertolok,
Jadilah suamimu diperolok-olok.

Jangan sekali takburkan bangsa,
Martabat tinggi di negeri dan desa,
Memandang suamimu seperti rusa,
Sombonglah tuan tutur bahasa.
Tiada menurut apa perintahnya,
Perkataan kasar selalu keluarnya,
Muka dimasamkan di hadapannya,
Jadilah suami pecah hatinya.

Jika diperbuat demikian itu,
Nyatalah kamu syaitan dan hantu,
Hargamu tiada serial batu,
Tiadalah harus dibuat menantu.
Dukalah tuan sehari-hari,
Suami pun benci tiada terperi,
Jika suamimu bijak bestari,
Duduklah dia mendiamkan diri.

Tetapi hatinya rosaklah sudah,
Kerana perbuatanmu yang haram jadah,
Jadilah suamimu berhati gundah,
Tiadalah kamu mendapat faedah.
Hanyalah dari balasan ngeri,
Dimurkai Tuhan waidul kahri,
Mendapat sengsara di dua negeri,
Celaka bertambah sehari-hari.